LIPIS – Hasrat seorang petugas Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pulang ke kampung bagi menjenguk ibunya yang sakit tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia di Hospital Kuala Lipis akibat kemalangan jalan raya tengah hari tadi.
Mangsa, Wan Afinulhikman Wan Hamid, 26, beralamat di Gual Periok, Tanah merah, Kelantan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.45 tengah hari ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi di Kilometer 17 Jalan Lipis – Benta dekat Taman Jelai di sini membabitkan tiga buah kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Axia yang dipandu mangsa, van jenis Toyota Hiace dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50.
Bapa Allahyarham Wan Afinulhikman, Wan Hamid Wan Harun, 62, berkata, anak ke tiga dari empat beradik itu dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menjenguk ibunya, Rohana Mamat, 54, yang sedang menderita sakit saraf.
“Tiga hari lepas arwah ada maklumkan dia mengambil cuti beberapa hari untuk pulang ke kampung bagi menjaga ibunya yang sakit.
“Arwah juga baru habis kerja syif malam dan terus bergerak balik ke Kelantan. Saya sangat terkejut apabila dihubungi oleh orang awam yang memaklumkan kejadian yang menimpa anak saya itu ,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Unit Forensik Hospital Kuala Lipis di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kelantan.
“Sampai di tempat kejadian, dipercayai mangsa yang memandu Perodua Axia hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar dengan van Toyota Hiace di bahagian kanan.
“Seterusnya datang kereta jenis Proton X50 dari arah belakang van berkenaan bertembung berhadapan dengan kereta mangsa,” katanya.
Tambah Azli, akibat kemalangan itu, Wan Afinulhikman telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 12.45 tengah hari semasa menerima rawatan.
Ujarnya lagi, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian apabila pemandu kereta Perodua Axia gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.
“Pemandu van berusia 40 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala sementara seorang wanita, 59, yang juga penumpang Proton X50 cedera di bahagian dada. Manakala pemandu SUV, 62, tidak mengalami kecederaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE