NEW DELHI – Sebuah klip video tular di media sosial India memaparkan seorang pekerja sebuah restoran popular menghancurkan kentang menggunakan kakinya.
Kejadian itu dilaporkan dirakam di negeri Madhya Pradesh.
Laman berita Ary News melaporkan, pekerja lelaki itu dilihat memijak kentang untuk dijadikan pes dan diisi di dalam kuih samosa.
Pemilik restoran berdepan kritikan netizen selepas video tersebut tular. Dia bagaimanapun enggan memberikan penjelasan mengenai pelanggaran peraturan kesihatan dan kebersihan di premisnya.
Susulan kejadian itu, Jabatan Keselamatan Makanan Negeri Madhya Pradesh melawat restoran tersebut untuk mengumpulkan sampel makanan.
Pihak berkuasa tempatan itu turut memusnahkan semua barangan yang disediakan oleh restoran tersebut yang mengandungi kentang. – AGENSI