KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah menghantar surat kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia memohon supaya mengambil tindakan dengan menurun dan melarang tayangan dokumentari bertajuk ‘Man On The Run’ dalam perkhidmatan aplikasi kandungan, Netflix.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata pihak yang di wawancara dalam dokumentari itu menyatakan pelbagai perkara terhadap anak guam yang antara lain bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah.
Katanya, ia juga belum dan tidak pernah dibuktikan sama ada melalui keterangan dokumentari dan lisan saksi yang dikemukakan dalam mana-mana perbicaraan termasuk kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rabu lalu, media melaporkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya belum menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung permohonan untuk menghalang tayangan dokumentari Man on the Run melalui platform penstriman di negara ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, beliau difahamkan permohonan itu telah dibangkitkan di mahkamah oleh peguam bekas Najib.
Terdahulu pada 8 Januari lalu, ketika perbicaraan 1MDB itu berlangsung, tayangan dokumentari “Man On The Run” yang menyentuh mengenai skandal penyelewengan dana 1MDB menjadi tumpuan di Mahkamah Tinggi di sini.
Ia apabila pihak pembelaan membangkitkan isu subjudis, apabila menyatakan dokumentari hampir dua jam itu dan mula ditayangkan di Netflix bermula 5 Januari lalu turut bersifat menghina mahkamah kerana perbicaraan masih berjalan.
Muhammad Shafee berkata lebih serius apabila bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas juga memberi, mengambil bahagian dan membuat kesimpulan di luar mahkamah.
Man On The Run telah ditayangkan di pawagam di Singapura pada 5 Oktober 2023 dan telah ditayang di pawagam tempatan pada 19 Oktober tahun lalu.
Dokumentari arahan Cassius Michael Kim itu turut memaparkan temu bual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif The Edge, Ho Kay Tat dan bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo.
Selepas 1 jam lima minit, dokumentari Man On The Run turut memaparkan temu bual dengan Najib mengenai skandal tersebut.
Sementara Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu, beliau hanya mengetahui mengenai dokumentari tersebut apabila dimaklumkan mengenainya pagi ini.
Ujarnya, beliau perlu menonton dokumentari berkenaan terlebih dahulu sebelum melaporkan kepada Peguam Negara dan mendapatkan arahan lanjut.
Ahmad Akram turut menyarankan kepada barisan pembelaan untuk menulis surat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung dokumentari tersebut. – KOSMO! ONLINE