MUMBAI – Kenderaan khususnya motosikal, beca dan traktor tidak dibenarkan berada di atas sebuah jambatan baharu menyeberangi laut di Mumbai, kata polis seperti dilaporkan portal berita NDTV kelmarin.
Had laju maksimum bagi kenderaan empat roda di Jambatan Atal Setu itu pula adalah 100 kilometer sejam.
Jambatan itu dinamakan demikian kerana mengambil nama bekas Perdana Menteri India, Atal Bihari Vajpayee.
Menurut seorang pegawai tempatan, kenderaan seperti kereta, teksi, kenderaan bermotor ringan, bas mini dan bas dua gandar akan dibenarkan melalui jambatan tersebut.
Bagaimanapun, kelajuan maksimum akan dihadkan kepada 40 kilometer sejam ketika menaiki dan menuruni jambatan itu, katanya.
Jambatan laut sepanjang 21.8 kilometer itu yang menghubungkan Navi Mumbai ke Mumbai Selatan dapat mengurangkan masa perjalanan daripada dua jam kepada cuma 20 minit. – AGENSI