SEPANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sepenuhnya kepada Kementerian Komunikasi berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya filem dokumentari ‘Man On The Run’ dikeluarkan daripada aplikasi Netflix.
Perdana Menteri berkata, perkara berhubung permohonan itu akan diteliti dan dipertimbangkan oleh Kementerian Komunikasi.
“Nanti diaorang (Kementerian Komunikasi) akan pertimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat Sepang di Masjid al-Hijrah, Persiaran Desa Pinggiran Putra, di sini hari ini.
‘Man on the Run’ adalah dokumentari yang diarahkan, ditulis dan diterbitkan oleh Cassius Michael Kim, berkisar mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditayangkan di negara ini pada 19 Oktober tahun lalu.
Ia turut memaparkan temubual Najib yang menafikan pembabitan dalam skandal terbabit, selain temu bual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas. – KOSMO! ONLINE