PETALING – Orang ramai diingatkan sentiasa berhati-hati setiap kali memilih makanan dan minuman ataupun kedai makan untuk menjamu selera.
Ini kerana menurut penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus, makanan yang dimasak oleh tukang masak yang tidak menunaikan solat lima waktu adalah makruh untuk dimakan.
“Sebagai contoh, kita tahu kedai ini tukang masaknya tidak sembahyang maka makruh kita pergi makan di kedai itu.
“Seharusnya, makanlah di kedai-kedai orang yang takut kepada Allah supaya berkat daripada tuan kedai itu turun ke makanan. Dari makanan masuk ke mulut, mulut jatuh ke perut,” katanya pada satu sesi ceramah sebelum ini.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, dengan memilih gerai orang yang solat untuk menjamu selera, ia juga memberi keberkatan dalam hidup kita.
“Orang sekarang ini bukan kata kedai orang tak sembahyang, kedai orang kafir jelas-jelas makanan tidak sembelih makan juga, campur gelatin babi pun makan juga.
“Sushi itu, kalau nak makan mesti kena gaul dengan darah. Darah yang mengalir itu haram dengan ijtima ulama dalam al-Quran iaitu, ‘Allah haramkan kamu makan ada darah yang cair.
“Sushi itu kena letak darah yang cair, kemudian masak separuh, itu haram (dimakan). Jangan kona-kona (pusing) kerana itu jelas haram. Allah tak heran kita banyak dosa, Allah tidak suka kita kona (pusing) tak mengaku buat dosa,”tegasnya.
Azhar menambah, makanlah makanan seperti dimasak ibu kita contohnya goreng kunyit, goreng belada ataupun goreng berempah. – KOSMO! ONLINE