TAWAU – Seorang lelaki warga asing yang dilaporkan hilang di kawasan muara sungai, Kampung Sungai Udin ditemui lemas semalam.
Mayat Usman Said, 50, ditemukan pasukan bomba kira-kira pukul 1.09 petang pada jarak 200 meter dari lokasi bot mangsa terdampar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.15 pagi semalam.
Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Maklumat awal, bot mangsa ditemukan orang awam terdampar di muara sungai pukul 9.50 malam pada Rabu. Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi bot mangsa ditemukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, mangsa berjaya ditemukan oleh pasukan bomba pada jarak 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi kejadian, sebelum operasi ditamatkan pada pukul 1.30 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE