BANGKOK – Seorang lelaki menembak dan membunuh rakannya di ladang tebu dalam insiden di wilayah Chaiyaphum kerana menyangka mangsa seekor tikus, lapor portal berita Thaiger semalam.
Anggota-anggota polis menyerbu ladang tebu berkenaan di daerah Kasetsombun pukul 12.45 tengah malam (waktu tempatan) kelmarin selepas menerima aduan mengenai satu kejadian tembakan.
Mereka menemui seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Adisak, 31, terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Polis berkata, Adisak mempunyai beberapa kesan tembakan pada muka dan badannya.
Rakannya yang bernama Banterng, 34, mengaku melepaskan tembakan yang mengenai mangsa.
Ketika kejadian, Banterng menyatakan bahawa mereka sedang memburu tikus.
Dia menyerahkan sepucuk pistol yang digunakan dalam kejadian tersebut kepada polis.
Walaupun tembakan itu disahkan sebagai kemalangan, Banterng masih berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 288 Undang-undang Jenayah iaitu membunuh dengan niat.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhi hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara selama 15 hingga 20 tahun. – AGENSI