BANDA ACEH – Polis menangkap seorang lelaki kerana menyiarkan gambar bogel bekas isterinya di media sosial, dipercayai kerana sakit hati selepas mereka bercerai, lapor portal berita iNewsBelu.id semalam
Kejadian berlaku di daerah Baktiya, kawasan pentadbiran Aceh Utara,.
Ketua Polis Aceh Utara, Novrizaldi berkata, bekas isteri suspek membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana malu gambar tidak senonoh dirinya tersebar di media sosial.
“Suspek dan mangsa pernah menjadi suami isteri tetapi sudah bercerai. Disebabkan sakit hati dan konflik keluarga, dia menyebarkan gambar-gambar tersebut,” kata Novrizaldi.
“Suspek menggunakan gambar tidak senonoh mangsa sebagai foto profil di akaun TikTok serta memuat naiknya di laman Facebook milik bekas isterinya,” tambah ketua polis itu.
Berikutan perbuatannya, suspek ditangkap bersama barang bukti berupa telefon bimbit yang digunakan untuk memuat naik gambar tersebut.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut. – AGENSI