PETALING JAYA – “Koo Ham (Datuk Ngeh Koo Ham) patut insaf, bukan tuduh orang lain,” kata Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, urusan agama Islam di negara ini tidak perlu dicampuri oleh orang luar yang tidak berkaitan.
“Kerana apabila dicampuri, orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Koo Ham pada 10 Januari lalu mendakwa kenyataannya mengenai isu mahkamah syariah dipercayai punca rumahnya di Ayer Tawar, Perak dibaling dengan ‘molotov cocktail’.
Kejadian yang menyebabkan salah sebuah keretanya hangus itu berlaku kira-kira pukul 3 pagi.
Ahli Parlimen Beruas itu mendakwa tidak mengesyaki sebab lain kerana beliau tidak terlibat dalam pertelingkahan dengan mana-mana individu ketika ini. – KOSMO! ONLINE