fbpx

Jerayawara Madani fokus bantu selesai masalah di IPT – Zambry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry. Foto FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menganjurkan Jerayawara Kampus Madani ke seluruh institut pengajian tinggi (IPT) termasuk politeknik dan kolej komuniti.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, jerayawara atau siri jelajah tersebut bertujuan melihat situasi sebenar di peringkat institusi dan mendengar sendiri keluh kesah pelaksanaan dasar di peringkat akar umbi.

Malah katanya, ia juga memastikan aspek kebajikan terutamanya bagi para pelajar dan kakitangan dititikberatkan.

Zambry berkata, jelajah itu juga sebagai langkah untuk merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia yang baharu sebagai lanjutan dan kesinambungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM(PT) 2015-2025 akan tamat pada tahun hadapan.

“Oleh itu, saya minta supaya pelan baharu yang akan dibangunkan ini mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang lebih menyeluruh.

“Saya beri masa selama 12 bulan kepada Kementerian untuk mendiagnosis tahap pencapaian pendidikan tinggi kita secara menyeluruh. Kita perlu bedah siasat untuk mengenal pasti isu dan punca sebenar kepada permasalahan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024 di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya di sini hari ini.

Dengan cara itu tambah Zambry, KPT akan dapat maklumat yang tepat untuk merangka strategi jangka panjang pendidikan tinggi negara yang akan dimaktubkan dalam pelan pembangunan pendidikan tinggi negara yang baharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI