TEHERAN – Tentera laut Iran merampas sebuah kapal tangki minyak yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat (AS) di Teluk Oman susulan perbalahan sebelum ini dengan Washington, lapor akhbar The Guardian kelmarin.
Setahun lalu, sebuah mahkamah AS memerintahkan supaya minyak mentah yang dibawa kapal tangki berkenaan dirampas.
Agensi berita rasmi Iran melaporkan pada Rabu lepas bahawa kapal tangki itu dirampas di bawah perintah mahkamah Iran. Perkembangan itu dijangka meningkatkan lagi situasi tegang berikutan serangan berulang kali pemberontak Houthi ke atas kapal-kapal dagang di Laut Merah.
Kapal yang membawa minyak mentah Iraq menuju ke Turki itu menukar haluan dan menuju ke arah Bandar-e-Jask di Iran.
Kapal tangki itu sebelum ini dinamakan Suez Rajan tetapi menukar namanya kepada St Nikolas selepas disita pihak berkuasa AS di Texas. Iran kehilangan 980,000 tan minyak mentahnya yang dalam insiden itu pada September 2023.
Sebuah mahkamah daerah AS mendapati bahawa pemilik kapal telah membenarkan minyak Iran dimuatkan ke dalam Suez Rajan sekali gus melanggar sekatan Washington.
Pemilik Rajan berdepan pendakwaan kerana berdagang barang yang tidak dibenarkan di bawah sekatan AS dan memalsukan buku log. Pemiliknya kemudian mengaku bersalah dan membayar denda lebih AS$2.5 juta (RM11.6 juta).
Ketika itu, Jabatan Kehakiman AS menyatakan, muatan minyak dalam kapal tangki Rajan dijual oleh Kor Pengawal Revolusi Iran kepada China. Iran tidak pernah menerima pampasan untuk minyaknya yang hilang dan kini membalas dendam dengan merampas semula kapal berkenaan bersama 15 krunya.
“Tentera Laut Republik Islam Iran merampas sebuah kapal tangki minyak AS di perairan Teluk Oman sebagai mematuhi perintah mahkamah,” kata agensi berita rasmi IRNA. – AFP