KUALA LUMPUR – Dua sahabat dijatuhi hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh bayi lelaki berusia 23 bulan yang juga anak salah seorang wanita itu lima tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Aisyah Mohd. Yunus, 40, (ibu bayi) dan rakan serumahnya, Noor Aisyah Ibrahim, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan munasabah.
“Setelah mahkamah meneliti keterangan kesemua saksi, mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh gagal memberikan penjelasan bagaimana mangsa mendapat kecederaan walhal mereka mengakui mangsa berada di dalam rumah berkenaan semasa kejadian,” kata hakim itu.
Mahkamah kemudian memerintahkan setiap tertuduh dipenjara 35 tahun dari tarikh tangkap pada 4 November 2019.
Mengikut pertuduhan, Nor Aisyah dan Noor Aisyah didakwa bersama-sama membunuh bayi itu di sebuah rumah di Jalan P5A/5 Fasa 5R4, Presint 5, Putrajaya, di antara pertengahan bulan September 2019 dan 4 November 2019.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim, Mohd. Isa Mohamed dan Noor Dayana Mohamad manakala peguam Najib Zakaria dan Mohd. Azrul Hasyimi Mohammad yang mewakili kedua-dua tertuduh.
Seramai 19 saksi pendakwaan dan sembilan saksi pembelaan termasuk tertuduh-tertuduh dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada November 2021.
Sebelum ini, akhbar melaporkan bayi lelaki berkenaan dibawa oleh kedua ibu bapanya ke Hospital Serdang dengan 89 kesan lebam, lecur, luka, calar lama dan baharu di seluruh badan.
Ketika prosiding di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 15 November 2019, Majistret Shah Wira Abdul Halim memerintahkan kedua-dua tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk penilaian psikiatri.
Pihak pembelaan berkata, Nor Aisyah mempunyai sejarah yang mana ibunya mempunyai penyakit postpartum syndrome (meroyan). – KOSMO! ONLINE