fbpx

Abot, Rambai bantu pindahkan gajah jantan liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seekor gajah jantan liar berjaya ditangkap oleh anggota Perhilitan di Kampung Belantik Dalam, Mukim Sok, kelmarin.

SIK – Dua ekor gajah denak, Abot dan Rambai digunakan bagi membantu memindahkan seekor gajah jantan liar yang berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah di Kampung Belantik Dalam, di sini.

Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim, berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran seekor gajah jantan berusia lebih kurang 47 tahun yang memusnahkan hasil tanaman sejak seminggu lalu.

“Kampung tersebut terletak di dalam sebuah kawasan pinggir hutan Ulu Muda. Gajah tersebut berjaya ditahan pada 4 Januari lalu dan kelmarin (Rabu), Perhilitan berjaya memindahkannya dengan bantuan Abot dan Rambai yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga turut berjaya menahan seekor lagi gajah liar jantan di Kampung Leikong, Pedu, pada Selasa lalu dipercayai datang dari kawasan Ulu Muda dan Pedu.

“Kumpulannya dianggarkan mempunyai populasi di kawasan hutan terbabit dan keluar dari hutan dipercayai kelaparan serta mencari sumber makanan. Dua ekor gajah liar jantan itu kemudian dilepaskan ke kawasan hutan yang lebih luas dan selesa pada Rabu lalu,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung, Habsah Ali, 43, berkata, sejak seminggu lalu, gajah jantan itu memusnahkan 11 pokok kelapa dan beberapa perdu pokok pisang di dalam kebunnya.

“Saya merasa amat takut kerana kebun kelapa dan pisang itu berhampiran dengan rumah saya, mungkin ada lagi gajah-gajah liar ini berkeliaran di kawasan hutan berhampiran kampung ini, harap ia tidak mengganggu tanaman kami,” kata Habsah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI