KUALA LUMPUR — Khabar angin mengenai gambar perkahwinannya tergantung di dinding rumah tersebar, pelakon dan penyanyi Erra Fazira menafikan tuduhan tersebut sekali gus menyifatkan perkara itu sebagai satu fitnah.
Ujar pemilik nama penuh Fazira Wan Chek itu, dia enggan ambil pusing tohmahan tersebut, bahkan memilih untuk memaafkan individu yang menabur fitnah tersebut.
“Itu semestinya satu fitnah dan saya macam terkejut gambar apakah itu. Saya memaafkan orang fitnah itu.
“Saya tahu diri saya dan apabila mendengar mengenai fitnah itu saya ketawa sahaja.
“Saya dah minta hentikan dakwaan sebegitu sejak dari dulu lagi, tapi tetap berulang,” katanya kepada Kosmo! Online.
Hati masih belum dimiliki sesiapa, primadona berusia 50 tahun itu menegaskan dirinya masih berstatus ibu tunggal.
“Saya masih ibu tunggal, malah sudah bertahun-tahun tapi saya tidak pernah menutup pintu hati, cuma sekarang mungkin belum lagi.
“Saya pun tak tahulah apa motif orang yang mahu gosip perkara sedemikian, mungkin ada hikmahnya, ada pro dan kontra iaitu kebaikannya bermakna orang masih berminat nak tahu tentang kisah peribadi kita.
“Kadang-kadang bila kita dah sampai pada usia sebegini, kita tak terfikir dah soal-soal begitu. Saya bahagia dengan kehidupan saya yang sekarang.
“Bagi saya kebahagian bukan bergantung dengan manusia,” katanya ketika ditemui pada sidang media tayangan bersiri Rampas Cintaku 2, petang tadi.
Terdahulu, tular gosip mengatakan terdapat foto perkahwinan Erra dengan seorang kenamaan yang tergantung di dinding rumahnya.
Dakwaan itu difahamkan dicetuskan seorang selebriti yang berkunjung ke rumahnya.
Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah dan penyanyi, Yusry Abdul Halim pada 15 Jun 2023, namun bercerai pada 16 Jun 2006.
Dia kemudian mendirikan rumah tangg sekali lagi dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007, namun mereka disahkan berpisah pada 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Engku Aleesya yang kini berusia 15 tahun. — KOSMO! ONLINE