fbpx

Equinix rancang buka pusat data di Johor, KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul memuat naik gambar pertemuan beliau dengan wakil Equinix di Singapura di akaun Facebook beliau hari ini.

PETALING JAYA – Syarikat infrastruktur digital global, Equinix merancang untuk melabur di Malaysia dengan membuka pusat data di Johor dan Kuala Lumpur.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pusat data itu menyediakan platform yang menawarkan akses kepada rangkaian antarabangsa dan serantau yang menghubungkan Asia-Pasifik.

“Equinix merupakan syarikat infrastruktur digital global yang menyediakan perkhidmatan kesinambungan digital bagi pelbagai organisasi industri terkemuka di seluruh dunia melalui beberapa pembolehcara termasuk dalam bidang awan, rangkaian, penyimpanan, komputasi, dan perisian.

“Bagi rantau Asia-Pasifik, Equinix mengendalikan 52 pusat data di 13 bandar raya termasuk Australia, China, Hong Kong, India, Jepun, Korea, dan Singapura,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Tengku Zafrul berkata, pelaburan Equinix akan menyokong penciptaan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi seperti saintis data, analitik data dan kejuruteraan data yang memerlukan kemahiran serta kelayakan tinggi.

Ujar beliau, infrastruktur digital seperti pusat data Equinix diyakini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi digital yang berterusan di negara ini.

Dalam hantaran berasingan, beliau memaklumkan mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Foundation, Ng Boon Heong di Singapura.

Jelas beliau, pertemuan itu membincangkan mengenai potensi kolaborasi antara MITI dan yayasan tersebut yang banyak menjalinkan kolaborasi bersama Khazanah, Yayasan Hasanah dan pelbagai agensi Malaysia lain dalam bidang seperti pendidikan serta kesihatan.

“Saya juga berjumpa dengan Pengarah dan Ketua Eksekutif ISEAS – Yusof Ishak Institute, Choi Shing Kwok yang berkongsi mengenai fungsi dan asal-usul institut tersebut.

“Semoga kerjasama ini akan terus utuh demi kesejahteraan rakyat Malaysia dan Singapura,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI