PADANG BESAR – Penyeludupan daun ketum yang sebelum ini dilihat suram kini didapati terus mendapat permintaan di Thailand disebabkan kualitinya yang lebih baik berbanding di negara itu.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, perkara tersebut berkemungkinan didorong tanaman ketum di negara jiran itu belum mencapai matang atau kualiti terbaik kerana masih di peringkat awal penanaman ketum dibenarkan di negara itu.
“Isu penyeludupan ketum ini dilihat semakin mendapat permintaan selepas pihak kastam merampas hampir 700 kilogram (kg) ketum dalam tempoh dua hari.
“Dalam serbuan pertama kira-kira pukul 1 petang pada 3 Januari lalu, sepasukan Unit Narkotik Kastam Padang Besar n merampas 23 guni daun ketum seberat 476kg bernilai RM4,760 di Kaki Bukit dekat sini” katanya semasa sidang akhbar di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia Padang Besar di sini hari ini.
Tambah Ismail, serbuan kedua turut dilakukan keesokan harinya pada pukul 9.30 pagi di sebuah pondok kosong di Jalan Wang Kelian juga di kawasan Kaki Bukit di sini.
“Pemeriksaan lanjut menemui 10 plastik hitam mengandungi daun hijau dipercayai ketum seberat 200kg bernilai RM2,000. Kedua-dua serbuan dilakukan tanpa melibatkan tangkapan.
“Pihak kastam percaya modus operandi digunakan adalah meletakkan barangan terlarang itu di premis kosong bagi mengaburi mata penguatkuasa dan dua rampasan ini berkemungkinan berkait, namun masih lagi dalam siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE