PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memohon pengisian penuh perjawatan sedia ada membabitkan anggota penguatkuasa.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketika ini hanya terdapat kira-kira 2,200 anggota penguatkuasa di seluruh negara yang menjalankan aktiviti penguatkuasaan membabitkan 12 akta dibawah KPDN.
“Pada peringkat ini kita bukan memohon untuk perjawatan baharu, namun kita mengharapkan JPA untuk mempertimbangkan supaya kita dapat membuat pengisian yang maksima terhadap perjawatan sedia ada.
“Jadi kita akan merayu dan mengadakan perjumpaan dengan JPA untuk kebenaran membuat pengisian perjawatan yang sedia ada dalam waran, untuk pengisian tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baru KPDN 2024 di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE