fbpx

Bekas juara dunia singkir Ee Yi-Yew Sin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EE Yi (kanan) dan Yew Sin mengalihkan fokus ke arah Terbuka India minggu depan selepas tersingkir di suku akhir Terbuka Malaysia hari ini. - Fariz Rusadio

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dirundung malang selepas tersingkir di pusingan suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pasangan No.12 dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan straight set 15-21, 9-21 kepada bekas juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Ee Yi berkata, pemain lawan berjaya membaca corak permainan mereka selain lebih ampuh ketika melakukan serangan, terutamanya dalam tiga pukulan pertama selepas servis dilakukan.

“Hari ini memang kami kalah dekat tiga pukulan pertama selain strategi kami berjaya dibaca oleh pemain lawan. Kami ada tukar strategi dalam permainan, namun ia tidak membawa sebarang perubahan.

“Bagi saya, dapat melangkah masuk ke suku akhir belum cukup bagus kerana kami mahukan lebih. Boleh kata permulaan baik untuk tahun ini, namun tetap kecewa kerana mahu melangkah lebih jauh,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Yew Sin mengakui, Hoki-Kobayashi bermain tanpa sebarang tekanan kerana berjaya mendahului perlawanan dengan perbezaan mata cukup jauh sehingga menyebabkan mereka melakukan banyak kesilapan.

“Ketika mereka mendahului permainan dengan jurang mata yang besar, mereka tidak ada banyak tekanan manakala kami sedikit risau dan melakukan kesilapan-kesilapan mudah,” ujarnya.

Selepas ini, Ee Yi-Yew Sin akan menggalas cabaran di Terbuka India minggu depan, namun berdepan laluan sukar apabila sekali lagi bertemu Hoki-Kobayashi di pusingan pertama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI