KOTA TINGGI – Perubahan sifat pendiam seorang remaja menjadi lebih manja dan banyak bercakap dengan ibu bapa seolah-olah mahu meraih perhatian petanda dia pergi buat selamanya.
Perubahan sikap itu membuatkan seorang suri rumah, Suhana Salman, 40, berasa pelik apabila anaknya, Muhammad Airell Iskandar, 14, berubah sikap itu sejak beberapa minggu lalu.
Awalnya wanita itu menganggap perkara itu adalah biasa dialami remaja yang sedang meningkat usia.
“Memang akhir-akhir ini dia agak manja dengan saya dan suami, suka peluk-peluk saya. Memang pelik sebab kebiasaannya dia bukan seperti itu suami juga hairan, namun kami tidak fikir apa.
“Tidak sangka pula hari ini kami kehilangannya. Kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini kelmarin.
Muhammad Airell antara dua remaja yang ditemui lemas ketika mandi di sebuah parit di Kampung Perpat, Tanjung Sedili di sini bersama dengan empat rakannya yang lain.
Selain Muhammad Airell, seorang lagi rakannya, Mohamad Azihan Baharum, 18, turut terkorban dalam tragedi.
Bercerita lanjut, Suhana berkata, sebelum kejadian, anaknya ada meminta izin darinya untuk keluar rumah kira-kira pukul 10 pagi kelmarin.
Katanya, ketika itu dia hanya mengagak Muhammad Airell mahu keluar membeli kelengkapan motosikal memandangkan minatnya dengan motosikal.
“Saya pun hanya agak dia mahu keluar cari barang motor, namun kira-kira pukul 12.30 ibu hubungi saya memberitahu bahawa anak lemas di parit.
“Saya juga sempat ke lokasi kejadian ketika itu jenazah anak belum ditemui begitu juga rakannya itu. Kira-kira lebih setengah jam kemudian barulah jenazah anak ditemui,”katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Belum pasti mereka mangsa banjir atau tidak berikutan siasatan masih dijalankan,” ujarnya.