KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan keluarganya mengemukakan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan rasuah dan pembekuan aset.
Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, dan keluarga selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini semalam menerusi Tetuan Tommy Thomas dengan menamakan SPRM dan pendakwa raya sebagai responden pertama dan kedua.
Pemohon juga adalah isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 67, dan empat anak mereka iaitu Asnida, 63, Md Wira Dani, 46, Muhammed Amir Zainuddin, 28, dan Muhammed Amin Zainuddin, 26, serta Ilham Tower Sdn. Bhd.
Pemohon berkata pada 30 Disember 2023, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan terhadap Daim telah dibuka berdasarkan maklumat dari ‘Pandora Papers’.
Menurut Daim, Pandora Papers adalah fail sulit yang tersebar pada tahun 2021 yang mendedahkan nama pemilik syarikat luar pesisir, aset, dan akaun bank di luar negara yang di luar bidang kuasa Malaysia. Bagaimanapun, beliau berkata fail tersebut tidak menyatakan sebarang kesalahan dilakukan olehnya dan keluarga.
Dalam permohonan itu, Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM dan pegawainya ‘tiada sebab munasabah’ untuk menjalankan siasatan yang bermula sejak Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan terhadap mereka.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa walaupun pertuduhan bertujuan untuk dimulakan oleh Pendakwa Raya, ia menyalahi perlembagaan dan tidak sah kerana mereka tidak akan menerima perbicaraan yang adil.
Ini mengambil kira kelewatan kira-kira 22 tahun (untuk memulakan tuduhan) dan dengan itu melanggar hakasasi “kebebasan peribadi” setiap pemohon di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, mereka juga memohon perisytiharan, bahawa notis yang dikeluarkan SPRM adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Dengan itu, pemohon memohon perintah certiorari terhadap SPRM dan pegawainya untuk membatalkan semua siasatan yang dimulakan sehingga kini terhadap mereka.
Mereka juga memohon satu perintah larangan bagi Pendakwa Raya untuk mendakwa mereka dan satu perintah Mandamus supaya semua dokumen, fail, kertas, rekod, harta, aset dan wang yang disita atau diperoleh daripada siasatan, dikembalikan dalam tempoh tujuh hari.
Turut dipohon, perintah perisytiharan terhadap notis yang dikeluarkan oleh SPRM pada 7 Jun 2023 menurut Seksyen 44(1) AMLA oleh SPRM tidak lagi berkuat kuasa mulai 5 September 2023.
Selanjutnya, mereka memohon semua aset, akaun bank dan akaun bank syarikat berkaitan dilepaskan dan dikembalikan, selain memohon ganti rugi am dan teladan terhadap SPRM.
Pengurusan kes ditetapkan pada 16 Januari ini secara sidang video di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh. – KOSMO! ONLINE