SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan tiada sekolah mahupun pusat peperiksaan yang ditutup susulan banjir yang berlaku di beberapa negeri, baru-baru ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sehubungan itu, tidak ada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas susulan bencana tersebut kerana mereka telah ditempatkan di asrama lebih awal.
Pada masa yang sama katanya, bagi yang tidak tinggal di asrama pula, ada agensi-agensi berkaitan yang membantu memastikan mereka dibawa ke sekolah atau pusat peperiksaan yang sepatutnya.
“Walaupun ada banjir, tetapi, calon-calon SPM kita tidak terjejas dan mereka ini masih boleh meneruskan peperiksaan masing-masing dengan dibantu oleh semua agensi.
“Jadi, kalau ada yang terputus jalan, yang tak boleh sampai ke pusat peperiksaan pun agensi-agensi kerajaan ini membantu mereka untuk sampai ke sana (pusat peperiksaan). Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja sempena gangguan bekalan air di Pulau Pinang, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, Nibong Tebal di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE