fbpx

SSM tawar pendaftaran perniagaan percuma kepada inovator

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Azimah (kiri) bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SSM dan YIM yang bertempat di Auditorium Tun Dr. Siti Hasmah, Menara SSM @ Sentral, di sini hari ini. FOTO oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Para inovator yang memenuhi syarat kini boleh mendaftarkan perniagaan di bawah Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) atau Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) secara percuma.

Inisiatif tersebut adalah hasil kolaborasi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dalam mempromosikan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, SPPP telah diperkenalkan oleh SSM untuk memberi peluang kepada usahawan kumpulan B40 serta pelajar sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) untuk mendaftarkan perniagaan secara percuma.

“Sejak diperkenalkan, jumlah pendaftaran perniagaan secara percuma melalui SPPP adalah sebanyak 94,555 yang terdiri daripada 48,673 pelajar-pelajar IPT sepenuh masa dan 45,882 usahawan kumpulan B40.

“Manakala, S1O1P pula merupakan satu inisiatif bagi golongan orang kurang upaya (OKU) mendaftarkan perniagaan dengan SSM dengan pengecualian fi pendaftaran dan pembaharuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SSM dan YIM yang bertempat di Auditorium Tun Dr. Siti Hasmah, Menara SSM@Sentral, di sini hari ini.

Menurut beliau, sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 17,542 perniagaan telah didaftarkan di bawah inisiatif ini.

“Dengan termeterainya MoU ini, saya percaya pihak YIM bersama-sama SSM akan melaksanakan program-program yang telah dikenal pasti.

“Ini dapat memberikan peluang kepada lebih banyak inovator di seluruh negara untuk mendaftarkan perniagaan, sekaligus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendaftaran perniagaan dalam usaha membangunkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Sharmila Mohamed Salleh berkata, pemeteraian MoU tersebut selari dengan komitmen YIM untuk membangun dan menggalakkan kemahiran kreatif dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

“Kami di pihak YIM menyasarkan sebanyak 5,000 pendaftaran menjelang 2030 melalui inisiatif yang diadakan kali ini.

“Ia juga selaras dengan Azam YIM 2024 untuk menjangkau 20,000 orang di dalam dan luar negara berkenaan topik inovasi, dan memberikan bantuan dan pendedahan berimpak positif kepada 8,000 inovator tempatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI