fbpx

Sokongan peminat cetus inspirasi Ee Yi-Yew Sin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EE Yi (kiri) dan Yew Sin mengulangi pencapaian musim lalu apabila melangkah ke suku akhir pada Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Fariz Rusadio

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menunjukkan semangat juang tinggi selain tidak mudah mengaku kalah ketika mencatat kemenangan pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia.

Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, pasangan No.12 dunia itu melakar kejutan dengan menewaskan pilihan keempat kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-10, 11-21, 24-22.

Yew Sin berkata, ketika pemain lawan menyamakan kedudukan 20-20 bagi mengheret set ketiga ke aksi deuce, mereka kekal fokus untuk memastikan kemenangan dan langsung tidak fikir mengenai mata.

“Kami tidak fikir mengenai mata dahulu. Ketika mendahului 20-18, memang kami fikir dapat menang tetapi kemudian melakukan beberapa kesilapan mudah. Selepas ini kami tidak mahu ulang kesilapan itu lagi.

“Selain itu, sokongan padu peminat di stadium juga menjadi pencetus kepada kemenangan kami hari ini. Kami juga ada mengubah permainan dan ianya membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Pada aksi suku akhir esok, Ee Yi-Yew Sin dijadualkan menentang pemenang antara beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dan wakil Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall yang akan membuat perhitungan selepas ini.

Sementara itu, Ee Yi menjelaskan, dia dan Yew Sin saling memberikan semangat pada perlawanan itu, terutamanya di penghujung set ketiga ketika Astrup-Rasmussen bangkit menyamakan kedudukan 20-20.

“Mereka tidak mengaku kalah, jadi kami juga tidak boleh mengalah, apatah lagi mereka sentiasa beri semangat sesama sendiri. Kami pun melakukan perkara sama dan ia sangat membantu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI