KUALA LUMPUR – Gara-gara berbelanja sakan menggunakan kad ATM milik orang lain, seorang wanita diberkas Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek berusia 44 tahun dipercayai menggunakan kad debit milik seorang penjawat awam sehingga mangsa mengalami kerugian RM 4,400 Disember lalu.
Katanya, siasatan dijalankan susulan kenyataan mangsa yang dimuat naik menerusi hantaran di Facebook berkaitan kad debit miliknya.
“Semakan mendapati terdapat dua transaksi pengeluaran dari akaun mangsa pada 24 Disember 2023 sehingga 25 Disember 2023 tanpa pengetahuannya melibatkan kerugian berjumlah RM 4,400.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, suspek kemudiannya diberkas dan ditahan reman untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE.