fbpx

RTS Link dijangka beroperasi 1 Januari 2027 – Anthony Loke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTHONY LOKE ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Penyempurnaan Span Menghubungkan Johor Bahru dan Singapura bagi Projek RTS Link di Johor Bahru hari ini. -Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Kerajaan yakin Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Malaysia dan Singapura akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kedua-dua negara komited menjayakan projek itu dengan kerjasama baik dan perbincangan antara kedua-dua pasukan dilakukan secara berkala.

Menurut beliau, tahap kemajuan projek pembinaan jejambat marin (marine viaduct) RTS Link telah berada pada tahap 68 peratus.

“Manakala, tahap kemajuan pembinaan jejambat daratan (terrestrial viaduct) sebanyak 31 peratus; tahap kemajuan pembinaan stesen pada 41 peratus serta pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pula sebanyak 3.22 peratus.

“Ya, kita yakin 100 peratus projek ini berjalan dengan lancar dan akan dapat mula operasi pada 1 Januari 2027. Perkembangan projek mengikut jadual dan kita amat komited untuk menjayakannya.

“Tahniah kepada kedua-dua pasukan dari Malaysia dan Singapura yang telah bekerjasama dengan baik dan bersungguh-sungguh memastikan projek ini berjalan mengikut jadual ditetapkan. Saya sendiri menunggu tarikh itu (1 Januari 2027),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas Majlis Penyempurnaan Span Menghubungkan Malaysia dan Singapura Bagi Projek RTS Link Antara Johor Bahru, Malaysia dan Singapura, di titik pertemuan jejambat marin projek berkenaan, di sini hari ini.

Sementara itu, Siew Fook turut memberitahu, penetapan kadar tambang RTS Link tersebut hanya akan dibuat apabila projek itu menghampiri tarikh siap sepenuhnya.

“Harga tambang akan ditetapkan pihak bertanggungjawab dan akan dimaklumkan sebelum RTS Link siap dan beroperasi. Pastinya harga tambang kompetitif dan menarik bagi memastikan pengguna kedua-dua negara dapat menikmati perjalanan rentas sempadan yang selesa,” jelasnya lanjut.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI