fbpx

Rindu, Siti Nurhaliza sambut hari lahir tunai umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI Nurhaliza berangkat menunaikan umrah bersama ibu kandung, ibu mentua serta dua orang anaknya, Aafiyah dan Afwa semalam.

PETALING JAYA – Ulang tahun kelahiran penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang ke-45 hari ini, dianggap cukup Istimewa dan amat bermakna apabila dapat diraikan di Tanah Suci Mekah.

Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Taruddin yang berangkat untuk mengerjakan ibadah umrah semalam, sememangnya berhasrat untuk meraikan hari jadi tahun ini di Tanah Suci Mekah.

“Alhamdulillah, saya pasti siapa sahaja yang pernah pergi (Tanah Suci), mesti akan merinduinya. Ada satu perasaan rindu yang memanggil-manggil.

“Saya tidak buat persediaan awal, cuma saya fikir, ada masa yang cukup, terus saya buat keputusan untuk ke sana. Saya kata, impian tahun ini nak sambut hari lahir di Tanah Haram (Mekah dan Madinah).

“Saya minta izin suami (Datuk K) dan dia kata okey. Jadi saya bawa sekali kedua-dua anak saya (Aafiyah dan Afwa), ibu kandung dan ibu mentua saya ke sana,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah penyanyi kelahiran 11 Januari 1979 itu lagi, kebetulan hari lahir ibunya (Salmah) baru sahaja berlalu pada 31 Disember namun tidak sempat diraikan. Jadi, umrah kali ini juga sebagai hadiah untuk ibu tersayang.

“Selain impian saya untuk menyambut hari lahir di sana, ini juga merupakan hadiah hari jadi untuk ibu yang melahirkan saya juga.

“Syukur alhamdulillah, Allah SWT permudahkan semua urusan saya dan keluarga,” katanya.

Ketika dicungkil tentang antara doa yang akan dipohon di hadapan Kaabah nanti, Siti yang ditemui semasa majlis sidang media konsert, Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza, baru-baru ini, tentunya berharap agar diberikan Kesihatan yang baik.

“Mestilah saya mahu doakan yang terbaik. Pertama sekali adalah kesihatan. Sebab bagi saya, sekarang ini kesihatan sangat-sangat bermakna.

“Selain itu saya juga berdoa agar Allah berikan saya keimanan yang tinggi. Sebab kita sebagai manusia, iman selalu turun naik. Jadi biarlah Allah beri saya istikamah dan perbaiki diri sendiri.

“Saya juga berharap agar Allah takdirkan yang baik-baik untuk anak saya supaya mereka menjadi insan yang bermanfaat kepada orang lain, selain memohon agar segala urusan dan kerja amal saya dipermudahkan,” ujarnya.

Menjawab kata-kata netizen yang mungkin beranggapan, individu yang kerap mengerjakan umrah sekadar untuk melancong, pelantun Jerat Percintaan itu berpandangan, setiap orang boleh menilai dan mengkritik mengikut pandangan peribadi.

Bagaimanapun bagi Siti, niat menjejakkan kaki ke Tanah Suci terpulang mengikut acuan individu itu sendiri.

“Seperti saya, tujuan kali ini sebab niat saya untuk menyambut hari lahir dan bawa keluarga ke sana. Alhamdulillah, kalau dapat pergi umrah atau mengerjakan haji lebih daripada sekali, itu adalah rezeki.

“Apa-apa pun semuanya dengan panggilan Allah. Kalau tidak dipanggil untuk jadi tetamu-Nya, tidak akan sampai juga.

“Ada orang dah buat persiapan dari awal, tapi saat-saat akhir ada saja halangan seperti visa tidak diluluskan atau kena tipu dengan ejen.

“Jadi pada mereka yang komen atau apa sahaja, fikirlah semula sebab apa seseorang itu boleh sampai ke sana. Doakan yang baik-baik sahaja,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI