LENGGONG – Empat ekor gajah liar yang berkeliaran dan merosakkan tanaman penduduk di Kampung Chepor di sini, akhirnya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, tiga ekor gajah ditangkap pada Jumaat lalu manakala seekor lagi pada Isnin.
“Kita menerima laporan berhubung kehadiran mamalia itu sejak dua bulan lalu apabila ada penduduk mendakwa kebun mereka dimasuki gajah dan tanaman musnah.
“Sehubungan itu, pemantauan dilakukan di kawasan berkenaan sebelum berjaya menangkap dua ekor gajah jantan dan dua ekor gajah betina baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Chepor, di sini hari ini.
Menurut Yusoff, seekor gajah jantan diberi nama Yob Napi dianggarkan berusia 35 tahun dengan anggaran berat tiga tan akan dilepaskan ke Hutan Simpan Belum hari ini.
Beliau berkata, Yop Napi dipindahkan bersama seekor gajah betina dinamakan Yong Hani berusia lingkungan 50 tahun dengan anggaran berat dua tan.
“Dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai digunakan bagi memujuk dan menarik gajah liar berkenaan sejauh kira-kira satu kilometer naik ke atas lori.
“Operasi memindahkan dua ekor gajah lagi akan dijalankan Sabtu ini kerana kita tidak mahu gajah denak terlalu letih dan tertekan ketika operasi dijalankan,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE