JIKA ada satu pujian yang harus diberikan buat filem terbaharu terbitan Studio Kembara, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, tentunnya memikirkan komitmen lakonan para pelakon terlibat.
Adakah sekuel filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu lebih baik daripada naskhah yang sebelum ini digarap pengarah berbeza iaitu Syamsul Yusuf? Semua itu terpulang kepada pendapat dan selera masing-masing.
Berbalik tentang apa yang dinyatakan pada perenggan pertama, secara peribadi buat penulis, antara perihal yang ‘menyelamatkan’ Pendekar Awang adalah lakonan pemain pembantu seperti Nadhir Nasar sebagai Tahir, Amerul Affendi (Tobah) dan Amir Ahnaf (Andak).
Watak Tahir, adik Awang yang mahir dengan seni pembuatan bom sangat meninggalkan kesan.
Bagaimana pula dengan kualiti lakonan hero iaitu Fattah Amin sebagai Awang?
Sejujurnya, watak Awang diterokai Fattah lebih memberikan dampak dalam filem pertama berbanding yang baharu.
Plot, lakonan pemain utama
Bukan tidak bagus, namun barangkali, kalau diberikan sedikit lebih kebebasan untuk Fattah memberikan ‘kick’ terbaik untuk filem kali ini, hasilnya semestinya berbeza dalam karya sentuhan dua pengarah iaitu Sharuddin dan Saiful Reza.
Dari segi alur atau perjalanan cerita, Pendekar Awang tiada masalah tentang perkara itu cumanya, kalau Mat Kilau boleh berjaya dari segi komersial, kali ini sedikit ragu-ragu memandangkan aspek lakon layarnya yang kurang ‘memberi’ kesan.
Itulah sebenarnya penting pengarah bukan hanya terlibat di bangku ‘keramat’ di set penggambaran. Mereka juga perlu rasa kebertanggungjawaban berkerja di ‘sektor’ lakon layar dan juga suntingan.
Antara resipi kejayaan Mat Kilau barangkali adalah Syamsul terlibat dalam hampir semua ‘sektor’ penting seperti baik pengarahan, lakon layar dan suntingan.
Dengan kombinasi-kombinasi elemen itu, barulah filem bukan hanya berakhir sekadar apa terpampang di skrin gergasi, namun memberi ‘rasa’ serta emosi kepada audiens.
Kurang permainan emosi
Banyak potensi untuk ‘merobek’ jiwa penonton dengan adegan-adegan menitiskan air mata atau membangkitkan semangat cintakan negara, sayangnya itu tidak berlaku dengan jayanya sebagaimana pernah dipaparkan dalam Mat Kilau.
Contohnya, babak yang membuatkan jiwa bak dihunus pisau tajam seperti Rokiah dibunuh kejam oleh tentera British dalam keadaan sedang sarat hamil, tiada dalam Pendekar Awang.
Yang ada, hanya babak yang percubaannya membangkitkan semangat bencikan penjajah. Ada yang meninggalkan kesan, namun kadangkala berlalu sahaja seperti ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.
Bagaimanapun, permainan karakter pelakon-pelakon wanita terlibat seperti Sayang (Fazura) dan Siti (Heliza Helmi) serta Besah (Tissa Biani) wajar diberikan pujian.
Tidak mahu komen lanjut tentang kewajaran ‘kostum’ digunakan para pemain atau props kerana, filem adalah filem dan sifatnya adalah rekaan waima filem bertemakan sejarah.
Dari segi permainan sinematografi atau permainan kamera Mat Kilau sudah dilabel menimbulkan kekacauan bagi peminat wayang, Pendekar Awang tiada masalah tersebut. Aspek tersebut adalah satu ‘level up’ yang wajar diberikan tepukan.
Keseluruhannya, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah adalah sebuah karya yang tidak wajar dilepaskan di panggung.
Nakshah berkenaan menjadi antara filem Melayu terawal edisi 2024 dan tidak salah kita memberikan sokongan.
Diharapkan filem sebegini memberi anjakan paradigma buat pelaku sinema tempatan terus berdaya maju ke depan.