fbpx

Majikan jangan hanya fikir untung – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR melambaikan tangan kepada kakitangan PTP ketika hadir sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota PTP di Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

ISKANDAR PUTERI – Majikan tempatan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta perlu memberi penekanan terhadap usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan pekerja dan bukan mengejar keuntungan semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, kerajaan Persekutuan komited dalam memastikan bukan sahaja ekonomi negara membangun tetapi juga kebajikan rakyat terbela.

Katanya, penekanan terhadap kebajikan dan kesejahteraan pekerja akan membezakan model pembangunan ekonomi Malaysia dengan negara lain.

“Syarikat-syarikat yang untung, termasuk swasta harus beri perhatian kepada upah yang munasabah dan juga kebajikan staf seperti aspek kesihatan dan kediaman, ini perlu diberi penekanan.

“Majikan di Malaysia tidak boleh tinggal soal ehsan dan kemanusiaan, khususnya apabila melibatkan kakitangan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar menegaskan Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi sebuah negara maju di peringkat global, namun usaha itu perlu dibuat dengan komitmen penuh, termasuk memerangi rasuah.

“Malaysia mampu diangkat sebagai sebuah negara maju, tetapi ada syaratnya, iaitu mesti menyentuh dasar penekanan negara Madani dan apakah ciri-ciri yang memungkinkan kita terangkat sebagai negara maju.

“Untuk itu, majikan di negara ini perlu cemerlang dan punyai daya tahan, mampu beri sumbangan kepada rakyat dan negara agar dapat jadi negara dihormati dan dikagumi dunia,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa amalan lapuk seperti salah guna kedudukan dan ambil kesempatan, terima sogokan, kayakan diri dan amalan lain yang menyebabkan Malaysia kecundang mesti dihentikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI