SEBERANG PERAI – Kerja-kerja penggantian dua unit injap kawalan bersaiz 1,200 milimeter (mm) yang bocor dalam saluran paip di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua sudahpun siap sepenuhnya, hari ini.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, bagaimanapun kerja-kerja pembaikian sampingan hanya berlaku di satu daripada 22 lokasi iaitu di Sungai Perai yang kini sedang dibaik pulih pada tahap 50 peratus.
“Jadi untuk kerja-kerja tersebut, walaupun dari segi pembaikan pada injap yang bocor itu sudah selesai kita juga tahu bahawa untuk menyalurkan kembali bekalan air ini perlu dibuat secara berperingkat.
“Maka sebab itu, walaupun yang diumumkan bahawa gangguan berjadual ini mengambil masa tempoh empat hari adalah pada tahap yang terakhir sekali, tetapi pemulihan itu sebenarnya telah mula dilaporkan sejak awal pagi tadi,” katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar selepas sesi lawatan kerja ke LRA Sungai Dua bagi meninjau kerja-kerja penggantian injap kawalan serta pembaikan sampingan, petang tadi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanantan pula memberitahu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan PBAPP menumpukan semua sumber untuk menyiapkan kerja-kerja pembaikan saluran paip kecemasan di Sungai Perai, hari ini.
Menurutnya, kejayaan pengapitan lubang 1.35 meter (m) pada saluran paip bawah air di Sungai Perai adalah perlu bagi PBAPP untuk memulakan Tahap 2 pelan pemulihan bekalan air Januari 2024 seperti yang dijadualkan.
“Di bawah Tahap 2, PBAPP menyasarkan untuk menormalkan bekalan air untuk 495, 065 pengguna (84 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas) di Seberang Perai dan di Pulau Pinang menjelang 6 pagi, Sabtu Ini (13 Januari).
“PBAPP bekerja semalaman untuk menyelesaikam isu teknikal di Sungai Perai. Kita tahu bahawa walaupun orang menghargai kerja keras, yang penting adalah hasilnya,” katanya.
Ketika ini, penduduk di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan sebahagian di kawasan pulau sudahpun menerima bekalan air sejak malam semalam, kurang 24 jam operasi pembaikan paip dijalankan. -KOSMO! ONLINE