KUALA LUMPUR – Seramai 393 atlet yang bernaung dibawah Program Podium bakal menerima gaji bulanan minimum RM1,500 sebulan dan akan menikmati faedah pemotongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh, berkata berbeza sebelum ini atlet hanya diberikan elaun, perubahan kali ini pasti akan beri manfaat kepada atlet berkaitan.
“Saya sudah sampaikan amanat kepada semua atlet dan jurulatih, penambahbaikan yang paling penting akan bermula pada minggu hadapan apabila mereka menandatangani kontrak untuk menjadi atlet Program Podium.
“Carumannya 11 peratus bagi pihak atlet dan 13 peratus MSN (Majlis Sukan Negara) manakala impak kewangan kepada MSN ialah RM16 juta. Paling penting, atlet kita mahu ada jaminan untuk mereka.
“Jadi kita tunaikan hasrat mereka tetapi saya juga mahu mereka tunaikan hasrat rakyat Malaysia, mereka nak pingat emas Sukan Olimpik. Saya tahu ada hasrat untuk golongan pelapis juga terima tetapi buat masa ini kita mampu adalah untuk atlet podium sahaja.
“Kita juga akan kaji semula kadar untuk jurulatih bagi pastikan ekosistem itu sempurna,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan Tahun 2024.
Sementara itu, dalam hal berasingan, Hannah menjelaskan KBS bakal mengadakan temasya sukan yang terbuka kepada atlet veteran dan orang ramai pada tahun ini.
“Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak akan berjalan tahun ini tetapi kita juga mahu mencuba satu kejohanan yang melebihi had umur temasya berkenaan supaya mereka berusia 40 tahun pun boleh bertanding.
“Kalau kita mahu Malaysia menjadi negara bersukan, kita kena adakan acara seperti ini untuk teruskan minat mereka dalam sukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE