POPULARITI aktres Kim Yoo-jung naik mendadak sejak kebelakangan ini impak naskhah My Demon lakonan bersama aktor Song Kang sedang hangat disiarkan laman penstriman popular Netflix.
Naskhah genre romantik komedi tersebut mencetuskan fenomena luar biasa dek keunikan jalan dan ‘visual indah’ bintang utamanya.
Yoo-jung yang sebelum ini sinonim dengan watak-watak berat juga buat pertama kali melakonkan watak santai, seorang gadis kaya pemilik syarikat bernama Do Do Hee dan perkahwinan kontrak dalam My Demon.
“Ramai peminat menantikan watak seperti ini daripada saya, jadi ini adalah hadiah buat mereka. Ikutkan watak ini sangat jauh berbeza dengan karakter saya yang sebenar.
“Bahkan saya bersyukur peminat mengatakan mereka dapat melihat sisi berbeza saya dalam lakonan. Ini kerana, nada suara dan dialog yang dilontarkan dalam drama ini memang tidak pernah saya lakukan dalam karya sebelum ini,” tutur Yoo-jung.
Biarpun drama berkenaan masih bersiaran, Yoo-jung dan heronya Song Kang telah berjaya menawan hati industri apabila dipilih sebagai penerima anugerah Pasangan Terbaik dalam SBS Drama Awards 2023, baru-baru ini.
Lebih mengujakan, Yoo-jung yang juga pengacara majlis anugerah berkenaan bersama pelawak popular, Shin Dong-yup turut membawa pulang Top Excellence Award (Drama Romantik Komedi) bagi kategori pelakon wanita.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pembikinan drama My Demon. Ini merupakan tahun ke-20 usia kerjaya seni saya, sejujurnya saya tidak pernah tahu bila saya bermula dan sudah berapa banyak karya yang saya lakonkan.
“Namun, disebabkan begitu ramai yang menghargai bakat dan mengambil berat akan diri saya, membuatkan saya selalu menilai diri sendiri.
“Sekarang saya mahu capai impian dan cuba buat yang terbaik dan pastikan menjadi orang yang sihat,” tutur Yoo-jung dalam nada sebak ketika memberi ucapan di atas pentas anugerah.
Impak keserasian luar biasa sebagai pasangan utama drama tersebut, Yoo-jung dan Song Kang kini didakwa sedang bercinta.
Biarpun perhubungan mereka hangat diperkatakan, sehingga kini belum ada bukti dan pengesahan daripada mana-mana pihak.
Senior muda
Pada usia 24 tahun, Yoo-jung sebenarnya sudah dua dekad dalam industri lakonan, bahkan sudah boleh dikategorikan sebagai pelakon senior.
Memasuki industri sebagai model kanak-kanak pada usia empat tahun, Yoo-jung seterusnya bergelar pelakon dan sehingga kini sudah merangkul lebih daripada 20 anugerah.
“Saya menyifatkan anugerah yang diterima sebagai pembakar semangat untuk melakukan yang terbaik. Ini kerana, peminat pasti mahu melihat apa lagi yang boleh saya beri kepada mereka.
“Saya telah berlakon selama 20 tahun dan membintangi pelbagai watak, saya tidak boleh berada zon yang selesa jika mahu terus berlakon dalam tempoh yang panjang,” kata Yoo-jung yang sebelum ini popular dengan drama Love In The Moonlight.
Ditebak, tidakkah dia berasa lelah bekerja dan melakukan perkara yang sama selama dua dekad, sambil tersenyum, Yoo-jung menjelaskan dia telah bersedia untuk menjadi seorang pelakon sejak kecil.
Lakonan adalah dunianya dan kerjaya yang dicintai justeru dia tidak melihat pekerjaannya sebagai sesuatu yang melelahkan.
Sebaliknya Yoo-jung bersyukur perjalanan seni yang dilaluinya selama ini telah membentuknya menjadi seorang wanita berdisiplin dan bertanggungjawab.
Disebabkan kecemerlangannya, Yoo-jung pernah berada di tangga kelapan Selebriti Korea Selatan Paling Berpengaruh dalam carta Forbes pada 2017.
“Saya mahu memberikan contoh yang baik buat peminat dan mereka yang menonton drama saya. Tiada yang mustahil untuk mencapai impian,” luah Yoo-jung.
Akuinya, meski dia terlihat sudah masak dengan sepak terajang dunia glamor, Yoo-jung juga pernah berada di titik paling bawah pada usia 20 tahun apabila berperang dengan diri sendiri.
“Sehingga ke hari ini saya tidak pernah ada pengalaman kerjaya yang lain selain berlakon. Tetapi apabila saya berusia 20 tahun, saya keliru dan emosi tidak stabil.
“Saya bertahan dengan melakukan begitu banyak hobi dan bercuti. Sekarang saya semakin kuat dan gembira.
“Kesihatan diri dan mental itu sangat penting,” luah Yoo-jung.
Projek amal
Selain memiliki begitu banyak hobi seperti melukis, bintang filem 20th Century Girl itu memilih untuk berehat setiap kali pada hari cuti.
“Saya tidak suka keluar sebaliknya lebih suka menggantikan tidur yang tertunggak kerana sibuk bekerja dan membaca buku.
“Rehat itu lebih penting bagi saya selain sekarang saya suka membaca buku tentang saintifik dan minda,” katanya.
Sibuk bekerja tidak sesekali menghalang Yoo-jung daripada mengambil berat perihal kesusahan orang sekelilingnya.
Dikenali sebagai seorang dermawan, Yoo-jung menggunakan popularitinya untuk membantu orang ramai dengan kerja-kerja amal termasuk pernah menderma sebanyak AS$22,800 (RM105,944) pada Green Umbrella Children’s Foundation.
“Saya rasa terharu kerana populariti yang dimiliki mampu membantu orang lain dan menyebarkan mesej-mesej positif menerusi projek-projek amal.
“Sumbangan saya begitu sedikit jika hendak dibandingkan dengan orang lain, tetapi saya mahu sama-sama menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik,” tutupnya Yoo-jung.