SIK – Dua pekerja kilang maut selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung dalam kejadian di Jalan Kampung Kalai, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Muhamad Jeffri Mat Said, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz maut di lokasi kejadian.
Sementara seorang lagi mangsa, Mohd Zarif Ahmad Kamal, 32, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC meninggal dunia ketika menerima rawatan di bahagian kecemasan Hospital Sik.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang Muhamad Jeffri tunggang hilang kawalan ketika menuruni jalan berbukit.
“Mangsa kemudian masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal ditunggang Mohd Zarif di bahagian hadapan sebelah kanan.
“Perlanggaran tersebut menyebabkan Muhamad Jeffri terbabas ke kiri jalan dan tercampak di atas jalan manakala Mohd Zarif terpelanting di bahu kanan jalan dan jatuh di atas jalan utama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE