KLANG – Keghairahan lapan lelaki mencuri benih kerang di sekitar perairan Kuala Selangor dekat sini tidak bertahan lama apabila dikejutkan dengan kehadiran pihak berkuasa, semalam.
Kesemua suspek termasuk lima warga asing berusia 20 hingga 60 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.45 petang selepas dipercayai menangguk benih kerang di lokasi tersebut sejak pukul 8 pagi.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kegiatan mereka dikesan oleh pasukan peronda Maritim Malaysia yang terlibat dalam OP Ehsan dan OP Tiris 3.0 di sekitar lokasi tersebut.
Katanya, mereka menggunakan tongkah untuk menangguk benih kerang itu.
“Kesemua suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan pasukan bertugas. Turut ditahan adalah seorang lagi rakan suspek yang sedang menunggu dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton di pesisir pantai tersebut.
” Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kereta pacuan empat roda telah menemui lapan guni berisi benih kerang dianggarkan seberat 16 kilogram selain menemui lapan buah tangguk dan dua buah tongkah,’ katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan, aktiviti mencuri benih kerang tersebut telah dilakukan kumpulan suspek berkenaan sejak seminggu lalu.
Abdul Muhaimin menjelaskan, pemeriksaan lanjut menunjukkan enam suspek warga asing dari Thailand dan Kemboja itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Nilai rampasan benih kerang termasuk kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM74,800.00 dengan kesemua suspek termasuk hasil rampasan dibawa ke jeti Maritim Selangor untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah kesalahan peraturan -peraturan perikanan (pemuliharaan dan kultur kerang) 2003 dan Akta Imigresen 1959/1963, ” katanya. -KOSMO!ONLINE