fbpx

K2

Bolehkah letak ayat al-Quran pada poster promosi filem?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Semua pihak bertanggungjawab memelihara dan menjaga kesucian ayat al-Quran. – Gambar hiasan

Sekarang tular di media sosial berkenaan promosi filem dari negara jiran. Namun, promosi filem tersebut meletakkan ayat al-Quran pada poster pengiklanan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat. Mohon penjelasan berkenaan isu ini?

Jawapan: Meletakkan ayat al-Quran pada poster iklan untuk mempromosi filem adalah perbuatan yang tidak sesuai dan satu penghinaan terhadap kesucian ayat al-Quran itu sendiri. Bahkan perbuatan seperti ini boleh menyebabkan seseorang itu jatuh ke dalam kekufuran berdasarkan ijmak para ulama. Oleh yang demikian, pihak yang terlibat seharusnya lebih peka serta berhati-hati dalam perkara yang sensitif seperti ini supaya tidak menjadikan ayat al-quran sebagai bahan promosi dengan meletakkannya pada poster, gambar dan mana-mana tempat yang tidak sepatutnya.

Sudah terang lagi nyata bahawa ayat al-Quran merupakan Kalamullah yang wajib dijaga dan dipelihara dengan baik. Perkara ini telah disepakati oleh para ulama sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:

Seluruh orang Islam telah bersepakat ke atas kewajipan memelihara mushaf (al-Quran) dan menghormatinya.

Menulis ayat al-Quran pada poster iklan bersama gambar yang tidak sepatutnya merupakan satu penghinaan terhadap ayat al-Quran itu sendiri dan boleh diumpamakan sebagai memperolok-olok serta mempermain-mainkan kesucian al-Quran. Hal ini jelas perbuatan tersebut merupakan satu jenayah berat yang boleh mengundang dosa besar berdasarkan firman Allah SWT:

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (65) Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah. (66)”

(Surah al-Taubah, 65-66)

Lebih berat lagi, para ulama bersepakat tentang perbuatan meremehkan dan mempermainkan kesucian al-Quran boleh dikategorikan sebagai kafir dan terkeluar dari agama Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh Qadi Iyad dalam karyanya al-Syifa bahawa para ulama bersepakat, seseorang itu jatuh kafir sekiranya dia meremeh atau menghina walaupun sebahagian daripada al-Quran.

Oleh itu, memelihara dan menjaga kesucian al-Quran merupakan tanggungjawab semua pihak bahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah mengeluarkan garis panduan seperti berikut:

Semua aktiviti berkaitan dengan pembuatan bahan-bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran hendaklah:

  1. Orang yang membuat urusan pembuatan adalah orang Islam seperti menjilid, filem, dan sebagainya.
  2. Ayat yang dicetak hendaklah diambil daripada al-Quran mashaf Rasm Uthmani dan mengikut kaedah seni khat yang betul.
  3. Dilakukan di tempat yang bersih dan terkawal daripada pencemaran najis.
  4. Menggunakan bahan-bahan pembuatan serta alat-alat yang bersih dan suci mengikut hukum syarak.
  5. Tidak terdedah kepada kemungkinan dilangkah atau dipijak seperti diletakkan di atas lantai.
  6. Menyediakan tempat pembuangan khas untuk dilupuskan.
  7. Dilarang mencetak ayat al-Quran di akhbar-akhbar, key-chain, kasut, baju, kad ucapan, kad undangan perkahwinan, jubin, VCD dan seumpamanya kerana dikhuatiri tidak dapat menjaga kesuciannya sekalipun untuk tujuan pengiklanan.

Kesimpulan

Meletakkan ayat al-Quran pada poster iklan untuk mempromosi filem dalam keadaan yang tidak hormat kepada ayat suci adalah perbuatan yang tidak sesuai dan satu penghinaan terhadap kesucian ayat al-Quran itu sendiri. Bahkan perbuatan seperti ini boleh menyebabkan seseorang itu jatuh ke dalam kekufuran berdasarkan ijmak para ulama jika dilakukan dengan tujuan untuk menghina. Oleh yang demikian, pihak yang terlibat seharusnya lebih peka serta berhati-hati dalam perkara yang sensitif seperti ini supaya tidak menjadikan ayat al-quran sebagai bahan promosi dengan meletakkannya pada poster, gambar dan mana-mana tempat yang tidak sepatutnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI