fbpx

Bank Pembangunan salur pembiayaan RM2.7 bilion kepada Prolintas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roni (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah bertukar dokumen pembiayaan di Kuala Lumpur, hari ini.

PETALING JAYA – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) mengumumkan kemudahan Pembiayaan Aset Tawarruq berjumlah RM2.7 bilion kepada Prolintas Managers Sdn. Bhd., syarikat milik penuh Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas).

Pembiayaan berkenaan bakal berfungsi sebagai pemacu ekonomi penting untuk membantu Kumpulan Prolintas melaksanakan penstrukturan semula menyeluruh melibatkan empat konsesinya, iaitu Lebuhraya Bertingkat Kuala Lumpur – Ampang (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK).

Kumpulan Prolintas telah memulakan inisiatif penstrukturan semula konsesi untuk memastikan kemampanan dan penggunaan lebuh raya mampu milik, dengan memberikan kadar tol yang lebih rendah kepada pengguna.

Penstrukturan semula berkenaan juga meletakkan asas untuk aktiviti penyenaraian melibatkan syarikat konsesi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Pembangunan, Roni Abdulwahab berkata, perkongsian dengan Prolintas menunjukkan komitmen pihaknya dalam menyampaikan modal impak untuk pembangunan negara.

“Memandangkan peranan penting dalam sistem jalan raya lingkaran luar Kuala Lumpur, lebuh raya ini memainkan peranan penting dalam menghubungkan komuniti ke bandar satelit dan hab ekonomi dalam Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, pembiayaan daripada BPMB mengukuhkan kemampuan pihaknya dalam memudahkan pembangunan ekonomi modal dan menyusun semula hutang sambil terus menawarkan ketersambungan yang dipertingkatkan serta merealisasikan misi syarikat untuk menjadi laluan pilihan penumpang.

Sejak penubuhannya, lebuh raya Prolintas telah memanfaatkan kira-kira 600,000 pengguna setiap hari dengan mengurangkan kesesakan dan memendekkan masa perjalanan.

Prolintas merupakan syarikat pegangan pelaburan yang dimiliki secara bersama oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB), serta menguruskan enam lebuh raya utama di Lembah Klang iaitu AKLEH, GCE, LKSA, SILK, Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi Ulu Kelang (Suke) dan Lebuh Raya Bertingkat Damansara – Shah Alam (Dash). – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI