KOTA TINGGI – Setelah empat hari lumpuh akibat dilanda banjir, pusat bandar Kota Tinggi hari ini kembali pulih selepas air banjir surut sepenuhnya.
Tinjauan mendapati laluan untuk ke kawasan perniagaan di pusat bandar seperti Jalan Niaga, Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Tambatan yang sebelum ini digenangi air meskipun cuaca elok sudah mulai dipenuhi kenderaan.
Rata-rata para peniaga juga dilihat belum memulakan perniagaan lagi sebaliknya melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.
Bagi pengusaha kedai makan, Radin Haslinah Radin Othman, 45, berkata, untuk tempoh terdekat ini dia belum merancang untuk membuka kedai kerana bimbang jika bencana itu berulang kembali untuk tempoh singkat berikutan keadaan cuaca yang sekejap baik dan kadang kala hujan.
Menurutnya, tidak dinafikan banjir kali ini membuatkan dia mengalami kerugian lebih banyak berbanding tahun lepas selepas banyak peralatan rosak.
“Banyak juga barang rosak terutama barang-barang elektrik, kerusi peralatan kedai dan dianggarkan kerugian banjir kali ini kira-kira RM8,000. Buat masa ini kami akan tutup dahulu kedai sebab katanya ada gelombang banjir yang seterusnya jadi kita tutup dulu sementara waktu.
“Jadi kita fokus kepada proses mengemas kedai sahaja untuk sementara waktu ini. Hendak berniaga semula itu tidak pasti tapi paling lama pun seminggu baru kita buka kedai balik,” katanya.-KOSMO! ONLINE