fbpx

Status tuntutan harta RM2 bilion Jamaludin Jarjis ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aminah (berkerusi roda) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh IQBAL ROSLI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Prosiding tuntutan harta sepencarian RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail, terhadap empat anak dan ibu mentuanya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini ditangguhkan.

Ia berikutan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Rayuan Syariah di sini pada 24 November tahun lalu, supaya prosiding itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan semakan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini berhubung perbicaraan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili ibu mentua Kalsom, Aminah Abdullah, 90, ketika ditemui selepas prosiding yang dijalankan secara tertutup hari ini.

Menurut Nur Hidayah, Kalsom memfailkan permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi itu pada Oktober tahun lalu.

“Semakan itu dibuat adalah membabitkan isu penyelesaian kedua-dua belah pihak,” katanya.

Berikutan itu, Nur Hidayah berkata Hakim Syarie Abdul Shukor Abd. Hamid menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan status semakan tersebut.

Kalsom, 68, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya Aminah sebagai defendan.

Pada 28 Ogos tahun lalu, mahkamah itu membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada pukul 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Pada prosiding September tahun lalu, tuntutan tersebut gagal menemui penyelesaian dan diteruskan dengan perbicaraan yang mana prosiding itu akan didengar di hadapan hakim syarie sama.

Ini kerana pihak-pihak terlibat gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI