SEOUL – Insiden tikaman pemimpin parti pembangkang Korea Selatan, Lee Jae-myung baru-baru ini dirancang dengan teliti oleh penyerang untuk menghalang ahli politik itu daripada menjadi presiden, kata polis hari ini.
Jae-myung, yang merupakan Pengerusi Parti Demokratik, ditikam pada leher dalam serangan pada 2 Januari lalu di bandar Busan.
Beliau diserang oleh suspek yang berpura-pura menjadi penyokongnya ketika ditemu bual oleh kumpulan wartawan.
“Suspek memutuskan untuk membunuh Lee (Jae-myung) bagi menghalangnya daripada menjadi presiden,” kata Ketua Polis Busan, Woo Cheol-mun kepada pemberita sambil menambah, lelaki itu telah merancang serangan tersebut selama berbulan-bulan.
Suspek dilaporkan membeli pisau yang digunakan dalam serangan itu pada April tahun lalu dan telah mengekori Jae-myung pada lima acara berasingan sejak Jun tahun lepas.
Dia juga menyamar sebagai penyokong Jae-myung ketika menunggu peluang untuk menyerang.
Polis berkata, ‘kepercayaan politik’ suspek menyebabkan dia melakukan jenayah itu.
Dalam kejadian tersebut, Jae-myung cedera di urat lehernya dan menjalani pembedahan kecemasan selama berjam-jam.
Namun, dia pulih dengan baik dan dibenarkan keluar dari hospital pada hari yang sama.
Jae-myung tewas kepada Presiden Yoon Suk-yeol pada 2022, dalam saingan pilihan raya presiden paling ketat dalam sejarah Korea Selatan.
Pemimpin itu dijangka bertanding sekali lagi pada 2027. – AFP