fbpx

Piala FA: Ten Hag lega Manchester United mara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UNITED berjaya mengesahkan slot ke pusingan keempat Piala FA selepas menundukkan Wigan 2-0 pada aksi awal pagi semalam. – AFP

WIGAN – Manchester United mahu mengubati kekecewaan musim lalu selepas gagal meraih kejuaraan Piala FA apabila mengesahkan kemaraan ke pusingan keempat dengan membenam cabaran Wigan Athletic 2-0 awal pagi semalam.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Erik Ten Hag menghidupkan peluang sekurang-kurangnya meraih satu piala musim ini selepas tersingkir dalam saingan Piala Liga Inggeris dan Liga Juara-Juara selain semakin jauh dari takhta Liga Perdana Inggeris.

Naib juara musim lalu yang terpaksa akur dengan kekalahan kepada Manchester City itu berjaya meraih dua gol menerusi Diogo Dalot sebelum Bruno Fernandes menyempurnakan sepakan penalti.

Ten Hag mengakui lega dengan kemenangan tersebut dan percaya ia cukup penting buat United mengembalikan semangat selepas dibuai prestasi tidak menentu sejak kebelakangan ini.

“Kami berdepan banyak isu kecederaan dan masalah kesihatan pemain, tetapi kami masih mampu menurunkan pasukan yang kuat. Kami adalah pasukan yang lebih baik, jadi kami sangat yakin untuk memenangi perlawanan ini.

“Anda tidak boleh memandang rendah kemampuan pasukan lawan, terutamanya pasukan seperti Wigan. Anda tahu mereka akan berjuang bermati-matian untuk mendapatkan kemenangan,” katanya.

Mengulas mengenai peluang untuk memenangi Piala FA musim ini, Ten Hag mengakui perjalanan dalam saingan ini masih panjang dan mereka mahu mengambil pendekatan satu demi satu perlawanan.

“Piala FA adalah mengenai kemenangan, ia aksi kalah mati. Sekiranya seri, anda terpaksa berdepan aksi ulangan, saya memberitahu pemain bahawa kami perlu menyelesaikan tugas setiap kali beraksi dan kali ini tugas kami selesai.

“Untuk memenangi saingan ini, masih banyak perlawanan yang kami perlu lalui. Kami tidak mahu terlalu teruja, pendekatannya adalah satu demi satu aksi. Fokus kami kini kembali ke EPL berdepan Tottenham Hotspur,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI