fbpx

Pesakit strok penerima pertama faedah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nora (berdiri, tengah) menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada suami Rosydiah, Huzaimi Zakaria pada Program Ziarah Prihatin Perkeso di rumah mereka di Kampung Manal, Tanah Merah hari ini. FOTO ROSMIZAN RESDI

TANAH MERAH – Seorang suri rumah yang kini terlantar akibat strok menjadi penerima pertama faedah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM550 sebulan di Kelantan.

Rosydiah Rashidi, 49, berkata, dia yang tersenarai dalam golongan miskin tegar berdaftar sebagai penerima bantuan dalam sistem eKasih tidak menyangka layak menerima manfaat tersebut.

Menurutnya, dia yang terlantar akibat strok hampir setahun lalu hanya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami yang bekerja dengan mengambil upah sebagai pemotong rumput.

“Saya tidak tahu penerima bantuan dalam sistem eKasih layak menerima faedah SKSSR sebelum menerima panggilan daripada Perkeso semalam.

“Manfaat daripada skim itu sekali gus dapat meringankan beban saya dan keluarga termasuk menampung perbelanjaan keperluan. Saya amat bersyukur dengan faedah yang diterima ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ziarah Prihatin Perkeso di rumahnya di Kampung Manal, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Negeri Kelantan, Nora Yaacob dan Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dick Khuzariry Mohamad.

Rosydiah selaku Suri Rumah Berinsurans (SRB) di bawah SKSSR layak menerima faedah Elaun Keuzuran sebanyak RM300 sebulan, Elaun Layanan Sentiasa (ELS) sebanyak RM250 sebulan selain barang-barang pemulihan seperti lampin pakai buang dan tilam.

Sementara itu, Nora berkata, Rosydiah merupakan suri rumah pertama di negeri ini yang menerima manfaat perlindungan Perkeso setelah disahkan terlantar akibat strok.

Katanya, kedua-dua elaun yang berjumlah RM550 sebulan itu akan diterima oleh Rosydiah sehingga dia berusia 55 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI