fbpx

Perlis wajibkan tulisan jawi pada papan tanda, iklan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penggunaan tulisan jawi pada papan iklan sebuah bank di pusat bandar Kangar.

KANGAR – Perlis memutuskan semua permohonan baharu untuk papan tanda premis perniagaan dan papan iklan di seluruh negeri ini wajib disertakan dengan tulisan jawi bermula 1 Februari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil berkata, arahan itu tidak melibatkan papan tanda sedia ada sebelum tarikh tersebut.

“Buat masa ini, garis panduan di peringkat akhir dan kita mungkin akan melaksanakan arahan tersebut menjelang awal Februari ini di samping tulisan rumi atau tulisan dalam bahasa ibunda.

“Kita juga akan menubuhkan satu unit baharu di Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi memantau serta meneliti setiap permohonan baharu bagi memastikan ejaan dan tulisan papan tanda di premis perniagaan mematuhi spesifikasi ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini semalam.

Perlis mengikuti langkah beberapa negeri seperti Kelantan dan Kedah yang mewajibkan penggunaan tulisan jawi di setiap papan tanda premis perniagaan.

Menurutnya, MPK juga akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis serta Munshi Jawi dari Dewan Bahasa dan Pustaka bagi memastikan tulisan digunakan betul.

“Arahan ini dilakukan agar membolehkan tulisan jawi dihidupkan semula memandangkan ramai generasi sekarang tidak boleh membaca tulisan yang digunakan sejak dahulu lagi,” jelasnya.

Selain itu katanya, papan tanda nama jalan di bawah pengurusan MPK juga telah dimasukkan tulisan jawi di beberapa taman perumahan baharu. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI