SHAH ALAM – Kejahatan seorang penganggur wanita merekrut geng pecah rumah termasuk warga Colombia sehingga mengaut ‘keuntungan’ sebanyak RM1.91 juta sejak Oktober lalu berakhir apabila diberkas di sekitar negeri ini dan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kesemua mereka termasuk dalangnya terdiri empat lelaki dan dua wanita yang berusia 45 hingga 62 tahun diberkas pada 3 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pengesanan terhadap kumpulan ini bertolak daripada rampasan empat buat kereta termasuk satu jenis Perodua Bezza yang dilaporkan hilang di Kulai, Johor.
Katanya, hasil risikan kemudiannya mendapati kenderaan jenis Bezza itu telah dipercayai digunakan kumpulan ini semasa melakukan jenayah pecah rumah.
“Modus operandi mereka bermula dengan seorang penganggur wanita berusia 52 tahun telah merekrut dua lelaki warga Colombia yang masuk negara ini menerusi visa Pelawat.
“Sindiket ini menyasarkan rumah-rumah mewah dengan menyamar sebagai penghantar barangan atau bungkusan bagi mengelak kegiatan mereka dikesan.
“Sekiranya didapati rumah tersebut kosong dan tiada penghuni, mereka iaitu dua lelaki Colombia itu akan memecah masuk melalui sliding door atau tingkap belakang rumah mangsa menggunakan peralatan rumah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Beliau menambah, semakan mendapati mereka terlibat dalam 19 kes jenayah dengan 10 daripadanya di Selangor dengan setiap hasil barangan curi akan dijual kepada para pembeli.
Ujarnya, semua penjualan itu telah diatur penganggur wanita tersebut di sebuah tempat pusat membeli belah di sekitar Lembah Klang.
“Kita berjaya merampas pelbagai barangan termasuk 64 utas jam tangan berjenama, batu kristal (29), 146 keping mata wang asing, wang tunai RM1,821 dan peralatan pecah rumah,” katanya.
Mohd. Shuhaily menjelaskan, dua warga Colombia tersebut dikatakan cuba melarikan diri apabila masing-masing ditangkap di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
“Seorang daripada mereka akan transit dari Subang ke Kelantan sebelum melarikan diri menggunakan jalan tikus ke Thailand. Kita percaya mereka berdua akan bertemu di negara jiran itu sebelum pulang ke negara mereka.
“Semakan rekod mendapati seorang daripada warga Colombia berkenaan mempunyai rekod lampau di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE