DUBLIN, Ireland – Seorang pemain bola sepak Ireland terkena tembakan peluru sesat di tengah padang ketika beraksi dalam satu perlawanan tempatan, lapor akhbar Metro UK semalam.
Insiden itu menyebabkan sebutir peluru menembusi lengan Donnacha O’Brien, 32.
O’Brien terkena tembakan itu semasa dia bermain untuk pasukannya, Rearcross FC, ketika menentang sebuah kelab lain pada Sabtu lalu.
Polis kini melakukan siasatan bagi mencari penembak yang dipercayai pemburu di kawasan hutan berhampiran.
Setelah dirawat oleh anggota perkhidmatan kecemasan, O’Brien dihantar ke Hospital Universiti Limerick sebelum dibenarkan keluar.
“Ketika anda melakukan sepakan dari garisan tengah tetapi anda pula ditembak di garisan tengah,” kata keterangan gambar yang dikongsikan pemain tersebut di platform media sosial.
Sementara itu, jurulatih kelab yang menentang pasukan O’Brien, Michael Collins berkata, tembakan tersebut mungkin tidak disengajakan.
“Ia mungkin peluru sesat,” katanya. – AGENSI