fbpx

Lelaki Indonesia bunuh majikan tak tahan dimaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Seorang lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh majikannya, bulan lalu.

Tertuduh, Rudiansyah, 25, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Indonesia di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kematian terhadap Nordin Ong Abdullah, 72.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 10.30 pagi pada 22 Disember hingga pukul 1.20 pagi pada 27 Disember 2023 di rumah kebun ladang kelapa sawit, Lorong Sidang Hj. Hamid, Paya Rumput Jaya, Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang 12 kali sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 16 Februari untuk serahan laporan kimia dan bedah siasat serta tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.

Terdahulu, Kosmo! pada 1 Januari lalu melaporkan seorang lelaki diberkas polis selepas dipercayai membunuh majikannya yang juga warga emas menggunakan tukul besi gara-gara berang dimaki mangsa di kebun kelapa sawit.

Suspek berusia 25 tahun yang merupakan warga Indonesia kemudian dikesan melarikan diri ke Klang, Selangor dan bersembunyi di asrama rakannya sebelum dicekup kira-kira pukul 4 pagi pada 30 Disember. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI