fbpx

KPDN Melaka serbu kedai runcit perkampungan warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG warga asing menunjukkan bekalan minyak masak yang diperoleh melalui perkhidmatan e-hailing. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD

ALOR GAJAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri menyerbu kedai runcit haram di sebuah kawasan pedalaman perkampungan warga asing yang terletak kira-kira lima kilometer dari laluan utama sebuah resort, di sini, malam tadi.

Dalam risikan selama lima jam sehingga pukul 8 malam itu, seorang penjaga kedai runcit warga Bangladesh berusia 36 tahun berjaya ditahan dan mengakui telah menjual pelbagai barang kawalan termasuk minyak masak, gula dan tepung.

Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar berkata, siasatan lanjut mendapati kedai runcit itu telah beroperasi sejak lima tahun lalu dengan barangan dijual pada harga hampir dua kali ganda lebih mahal berbanding pasaran luar.

“Mereka ini dikesan menjual barangan kawalan tanpa lesen dan permit sama ada daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau KPDN, malah bekalan turut diperolehi darpada pembekal luar serta melalui perkhidmatan e-hailing.

“Harga yang dijual pula jauh lebih mahal iaitu minyak masak peket RM5 berbanding RM2.50 dan tepung gandum RM3.50, sedangkan harga kawalan RM2.85 sepeket bagi berat satu kilogram,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat operasi di sini, malam tadi.

Tambahnya, barangan runcit tersebut disediakan bagi pasaran lebih 50 pekerja asing warga Bangladesh yang menetap di asrama berhampiran resort berkenaan.

Mengulas lanjut Norena memberitahu, pihaknya kini sedang mengesan pembekal tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam kegiatan tersebut untuk dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Pembekal ini disyaki dari luar yang berdekatan negeri ini dan kita akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya kepada mereka yang terlibat kerana kesalahan ini secara tidak langsung menjejaskan bekalan pasaran untuk rakyat tempatan.

“KPDN Melaka akan terus membongkar lokasi-lokasi yang menyalahi peraturan dan memastikan ketirisan tidak berlaku di Melaka,” tegasnya.

Terdahulu, dalam operasi itu kesemua barang kawalan turut disita mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI