fbpx

Koo Ham syak isu mahkamah syariah punca diserang ‘molotov cocktail’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN forensik melakukan siasatan di lokasi kebakaran di rumah Ahli Parlimen Beruas, di Ayer Tawar, Manjung hari ini. - Foto IHSAN JBPM

BERUAS – Datuk Ngeh Koo Ham percaya kenyataannya mengenai isu mahkamah syariah baru-baru ini menjadi punca rumahnya di Ayer Tawar dekat sini, dibaling dengan ‘molotov cocktail’ awal pagi tadi.

Ahli Parlimen Beruas itu tidak mengesyaki sebab lain kerana beliau tidak terlibat dalam sebarang pertelingkahan atau pergaduhan dengan mana-mana individu ketika ini.

Beliau juga tidak menerima sebarang ugutan atau ancaman sama ada dalam bentuk panggilan atau mesej sebelum ini.

“Saya tinggal di Ayer Tawar sudah lima generasi, saya tiada musuh di sini. Rumah saya juga tiada CCTV (televisyen litar tertutup), tidak perlu, kerana semua orang kenal (saya),” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Beruas di sini hari ini.

Menurutnya, polis ada meronda kawasan rumahnya kebiasaan pada pukul 1 pagi tetapi kejadian yang menyebabkan sebuah keretanya hangus itu berlaku kira-kira pukul 3 pagi.

Pada 28 Disember lalu, Penasihat DAP Perak itu mengeluarkan kenyataan mencadangkan agar pakar undang-undang bukan Islam dimasukkan dalam jawatankuasa khas mengkaji bidang kuasa mahkamah syariah, bagi memberi pandangan masyarakat bukan Islam.

Kenyataan itu bagaimanapun mendapat kecaman pelbagai pihak khususnya orang Islam memaksa beliau memohon maaf dan menarik balik cadangan tersebut.

Menurut Koo Ham, kecaman yang diterima selalunya dalam media sosial tetapi tiada mana-mana individu yang marah atau tidak mahu berjabat tangan dengannya ketika menghadiri kenduri, berjumpa ketua kampung serta ketika menghadiri sambutan ambang tahun baharu di Manjung bersama ribuan orang Melayu Islam, baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut beliau lagi, pemimpin pembangkang menuduhnya sebagai cuba mencampuri urusan agama Islam sehingga mengelirukan orang ramai khususnya masyarakat Islam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI