fbpx

Kolej Meatech jalin usaha sama dengan YEG Academy, Awesome Nomad laksana WBL peringkat diploma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che Rozaina (tengah) memotong riben sebagai gimik pelancaran program kerjasama WBL Aviation Career Malaysia dan YEG Pesta Sambung Belajar di Auditorium Kolej Meatech, Mantin, semalam.

SEREMBAN –  Kolej Meatech yang terletak di Mantin dekat sini  telah memeterai jalinan kerjasama dengan dua pihak industri dalam industri penerbangan dan pelancongan menerusi pelaksanaan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) bagi peringkat diploma.

Dua entiti tersebut adalah  YEG Academy Sdn. Bhd. (YEG Academy) dan Awesome Nomad Sdn. Bhd. (Awesome Nomad)

Pengarah Sekolah Hospitaliti Penerbangan, Kolej Meatech, Che Rozaina Azizan berkata, konsep WBL adalah suatu revolusi pendidikan tinggi yang mampu mengintegrasikan pembelajaran di universiti dengan pembelajaran di industri selain mewujudkan pengalaman bersepadu kepada pelajar iaitu teori dan praktikal. 

“Pihak industri malah berpeluang membawa semangat dan idea baharu kepada organisasi  selain mempunyai cara baik mengenal pasti bakal rekrut yang akan membawa penyelesaian kos efektif pengambilan pekerja dan mengurangkan latihan masa hadapan. 

“Kami juga mengalu-alukan lebih banyak lagi industri bekerjasama dengan pihak akademik bagi memastikan kurikulumnya relevan dengan keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program kerjasama WBL Aviation Career Malaysia dan YEG Pesta Sambung Belajar di Auditorium Kolej Meatech di sini semalam.

Che Roziana menerangkan, melalui  kerjasama dengan YEG Academy di bawah payung Aviation Career Malaysia, ia menawarkan dua program unik iaitu diploma berkaitan penerbangan selama dua setengah hingga tiga tahun dan program persediaan dalam jangka pendek iaitu selama tiga bulan. 

“Antara bidang yang ditawarkan adalah Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat, Diploma Pengurusan Kargo Udara dan Diploma Pengurusan Operasi Lapangan Terbang.

“Bagi program persediaan pula berkaitan dengan kru kabin, khidmat pelanggan dan ejen ramp,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Pengarah Pemasaran YEG Academy, Azizulhakim Suhaimi berkata, program yang ditawarkan itu adalah untuk memenuhi permintaan tinggi daripada pasaran dengan memberi penekanan kepada laluan kerjaya bagi para pelajar. 

“Ia juga bagi memastikan bahawa mereka tidak hanya menerima pendidikan berkualiti tetapi juga peluang untuk menyertai syarikat penerbangan yang terkenal di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, kerjasama dengan Awesome Nomad pula membabitkan program pengajian peringkat diploma dalam jurusan pengurusan pelancongan melibatkan kolaborasi dalam WBL.

Perunding Utama Awesome Nomad Sdn. Bhd., Dr. Irwan Dahnil menjelaskan, program ini menawarkan tempoh pengajian selama satu tahun setengah di dalam kelas dan selama setahun mereka akan ditempatkan dalam industri berkaitan. 

“Pelajar program jurusan pengurusan pelancongan secara WBL akan dihantar ke luar negara pada semester akhir selama tiga bulan untuk latihan. 

“Menerusi syarikat, kami menyediakan khidmat pengurusan pelancongan untuk mengembara  sebagai ketua kembara membawa pelancong dari Malaysia melawat negara-negara terkenal khususnya di benua Eropah,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI