fbpx

Kematian Zayn Rayyan: Tangkapan suspek bergantung kepada analisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily ketika sidang akhbar di IPK Selangor. FOTO SADDAM YUSOFF

SHAH ALAM – Tangkapan ke atas mana-mana individu berhubung kes pembunuhan kejam melibatkan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin dibuat berpandukan kepada analisis yang diterima pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, proses trigulasi sedang dilakukan dalam mencari bahan bukti dan petunjuk baharu  berhubung kes tersebut.

“(Ada potensi suspek ditangkap) semuanya bergantung kepada maklumat dan analisis yang kita terima lebih awal, akan diterima atau telah terima.

“Itu akan menentukan sama ada seseorang itu boleh ditahan dan cukup bukti untuk menahannya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Beliau menegaskan, polis tidak akan berhenti berusaha untuk menyelesaikan kes tersebut sehingga penjenayahnya dihadapkan ke muka keadilan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat atas semua input yang diberikan.

“Kami juga menilai maklumat ini kerana ia memberi kami beberapa perspektif awam yang kami fikir patut diteliti.

“Sama seperti orang awam, pegawai saya juga terkesan dengan kes itu. Mereka sangat bermotivasi, sehingga hari ini mereka masih berada di lapangan, cuba memproses segala-galanya di bawah pimpinan Ketua Polis Selangor.

“Kami tidak berhenti dan tidak akan berhenti. Kami telah berusaha, dan sebagai umat Islam, marilah kita berdoa semoga Allah memberi petunjuk dan semoga orang yang melakukan jenayah keji ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan, polis akan menggunakan maklumat risikan yang sedia ada bagi memulakan tangkapan terhadap individu yang mempunyai kebarangkalian tinggi suspek kes pembunuhan Zayn Rayyan.

Siasatan kes tersebut yang sudah mencapai 90 peratus membabitkan segala jenis bentuk siasatan termasuk saintifik dan konvensional. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI